Terjemahan Al Quran

Listen to Quran

Friday, November 7, 2008

Salam peringatan.....

Demi sebuah kebahagian

Ingatlah kebaikan orang kepada kita.

Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan
selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima
kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan,
ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah ALLAH.

Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita.

Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka
pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak
mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya?

Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik
hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak
teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada
kehidupan ini?

LUPA 1

Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan
yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan
disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.

”Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong.

”Kan dulu aku pernah tolong engkau. Sekarang tibalah giliran untuk engkau menolong aku”, ungkit si dia.

mannwalaza.JPG

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan
(pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan
(kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang
yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada
manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat.
(Al-Baqarah: 264)

Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.

Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan
dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.

INGAT 2

Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.

Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah
kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur
kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa
ada pelajaran yang diambil darinya.

Kenangkan ia, ingatkan selalu.

Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada
sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling
melata, setiap detik dan masa.

Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia.

Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa
berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang
ditimpakan-Nya ke atas kita.

Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang
pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar
berhati-hati.

LUPA 2

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia.

Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan
kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban
sepanjang masa.

Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita
yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam
diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi.

Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.


No comments: